BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, December 20, 2010

Adik Adam Hariz bin Ahmad Fadzil

Salam bicara. Alhamdulillah sekali lagi saya berpeluang mencurahkan sedikit idea yang terbuku di hati. Pada malam kelmarin, saya berada di rumah saya di Sabak Bernam, yang baru dimiliki oleh kami sekeluarga. Hari yang sama, keluarga mak cik saya menjadi tetamu kami. Keluarga yang banyak berjasa kepada kami sekeluarga itu cuma hadir tiga, si suami dan isteri, bersama Adam, seorang anak kecil yang saya kira cukup menggamat suasana. Dalam hati saya, kehadiran anak kecil ini dalam keluarga mak cik saya sangat memberikan keceriaan bukan sahaja kepada keluarga mereka, malah serimbun keluarga daripada moyang kepada wan, daripada wan kepada ibu, dan daripada ibu kepada saya.



Kehadiran Adam dalam keluarga Mak Chek Ayu sememangnya memberikan kesan kepada saya sebenarnya. Takrifan itu saya berikan atas alasan yang kakak saya sudah berpengalaman merasainya. Anak kecil itu selepas keluarnya dia diberikan kasih sayang yang cukup oleh ibu bapanya. Pak cik saya cukup senang dengan memberikan anaknya itu dengan dendangan sura-surah al-Quran ketika anak itu mahu tidur. Yang pastinya, si Adam ini nyenyak tidur dengan diiringi oleh alunan suara ustaz-ustaz yang membaca surah-surah al-Quran itu. Pada saya, cara didikan keluarga ini kepada si Adam sangat istimewa. Mungkin kerana pasangan itu cukup garam dalam mendidik anak-anak mereka yang tiga orang yang sudah besar panjang.

Berbalik kepada hari itu, anak kecil itu memanggil saya abang Haziq. Ternyata dia ingat akan saya walaupun kerap juga saya ke kota utara untuk belajar. Umurnya yang setahun ada lebih sedikit tidak menghalangnya daripada bercakap-cakap seolah-olah faham akan kehidupan sebagai manusia. Saat hadiah yang dihulurkan kepada ibu saya oleh mak cik dibuka perlahan, Adam bersuara dengan pelat bayi, "Ya Allah, cantiknya".
Terkejut juga saya. Pandai sudah anak ini berbicara sedimikian rupa.



Sebaik sahaja pulang dari rumah hujung minggu itu, kecoh dalam kereta akak perihal anak kecil itu. Akak ada cerita, si Adam itu sangat bijak. Ada sekali, bapanya membelikan dia sebuah basikal. Akak yang melihat, perasan akan karenah anak itu. Adam melompat-lompat girang, sambil berkata, "Ya Allah, terima kasih abah". Itu membuatkan akak saya terkejut. Tambah Adam lagi, "Terima kasih abah, abah dah belikan Adam basikal, Adam dah ada basikal. Terima kasih abah". Kalau diikutkan saya yang tidak ada di tempat kejadian, memanglah saya tidak percaya. Masakan anak sekecil itu mampu berbicara dengan baik bahasanya disulami dengan kesantunan terhadap bapanya.



Mungkin ada antara anda berfikir, apa ke halnya saya bincangkan hal ini. Ada sebabnya. Anda perasan atau tidak, mengapa kalau kecil-kecil, anak-anak mahu menghormati ibu bapanya, tetapi apabila besar, entah apa-apa. Saya bukan nak kata anak Adam ini sedemikian rupa apabila besar nanti, tetapi sekadar lakukan refleksi diri. Andai anda tidak dalam kategori tersebut, tahniah. Tetapi, mengapa masih ada lagi anak yang memukul ibu bapanya, menghumban ibu bapa ke rumah kebajikan, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa sendiri. Kenalan saya, diceritakan pernah mendapat anugerah budak sopan di sekolah, tetapi pada hakikatnya di rumah tidaklah begitu santun kepada ibu bapanya sehinggakan pernah menyebabkan orang tuanya menitiskan air mata. Apa salahnya mereka, sedangkan merekalah yang sepatutnya disayangi oleh kita sepenuh hati. Jadi, harapan saya menggunung untuk anda berubah, termasuklah saya yang menasihat, supaya sayangilah ibu bapa anda sebaik mereka menjaga kita. "Allah-humma-ghfirlana-zunubana-waliwalidinawarham-huma-kama-rabbana-soghiro". Anda fahamkan? Renung-renungkan dan selamat beramal!

2 respon:

aiman sanudin said...

ada button like tak kat sini? hah

Haziq Janudin said...

hang komen dah kire like la tu...
hahha