BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 26, 2010

Isnin Depan!

Sibuk dengan peperiksaan. Tak boleh fokus. Semuanya memberikan seribu satu persoalan buat saya. Hampir dua minggu kami tidak berlatih atas sebab peperiksaan. Benar, SPM lebih penting. Disebabkan itulah hampir dua minggu saya tidak tenang dalam tidur. Mana tidaknya, tidur dalam pukul 1.30 pagi. Bagi orang lain, mungkin sudah biasa. Tapi bagi saya, ini merupakan perkara yang agak baharu. Alhamdulillah dapat saya adaptasi dan akan cuba untuk mengekalkannya dalam perjalanan menghadapi SPM kelak.

Berbalik kepada topik, PPM. Saya rasa pada masa ini sudah tentu rakan-rakan debat sekolah lain sedang menengangkan urat tekak masing-masing dengan berdebat. Sudah tidak lama PPM yang akan berlangsung di SCIPP nanti. Mahu dalam 5 hari lagi. Apabila ingat-ingat balik, ini merupakan pentas perdebatan terakhir saya sebagai pendebat. Sedih juga. Rasa seperti ingin putus bercinta. Sayang saya akan dunia ini terlalu besar kiranya. Tetapi, masih tidak dari permasalahan.

Dengan skop yang lebih mencabar, saya rasakan akan wujudlah perdebatan yang sangat intelek tahun ini. Ada yang saya tak tahu menahu langsung. Tahu sebenarnya, cuma tidak selalu ditekankan kerana kalau di peringkat Debat UIA, politik, ekonomi dan sosiallah watak utama temanya. Dengan tekak yang sangat pedih sekarang, mungkin asbab menjawab peperiksaan di dalam bilik yang sejuk, membuatkan saya masih samar-samar akan prestasi nanti.

Namun, jangan sangka saya mudah mengalah. Saya akan cuba beri yang terbaik buat semua. Alang-alang sudah 'bercinta', biarlah 'hadiah' menjadi buktinya. Buat rakan-rakan di luar, semoga berjaya! Hidup SBP! Yeah...

Monday, May 24, 2010

Pemarah? Perlukah?



Bercakap tentang sikap manusia yang satu ni, pastinya kita pun tak lari daripadanya. Sifat ini sememangnya ada dalam diri manusia yang membolehkan kita tanpa segan silu dan konfiden mengangkat tangan untuk menampar, menempeleng, menumbuk ataupun menyekeh pipi, bahagian muka, kepala, ataupun anggota tubuh yang lain. Haha. Memang tergelak juga menulis artikel ini, tapi tidak ada salahnya kita berkongsi.

Nak dijadikan cerita, saya merupakan seorang pemarah. Percaya? Mungkin ada yang kata ya, dan ada yang kata tidak. Bagi yang mengenali, sifat marah sebenarnya tidaklah boleh disamakan dengan rupa ataupun senyuman yang agak kedekut untuk diberikan. Kadang-kadang, ada orang yang mempunyai raut wajah yang menggerunkan, sebenarnya dia seorang yang baik hati. Tapi, majornya tidak begitu, kerana kata orang, hati yang ganas nampak di muka(eh, adeke? haha).

Sambung balik cerita tadi. Saya dikatakan sebagai seorang yang suka marah-marah. Entah kenapa. Tapi ada kalanya saya rasa begitu saat masa, ruang dan peluang saya terganggu. Bagi saya, nada itu memainkan peranan dalam bertutur. Maka, ramai yang beranggapan saya suka marah sedangkan nada suara saya memang begitu. Haha. Macam itu pun boleh. Bukan apa, saya ni jenis yang suka menegaskan sesuatu. Jadi, tidak hairanlah andai nada pertuturan saya tidak disenangi. Tapi jangan salah tafsir ya. Rakan-rakan saya tetap rapat dengan saya, cuma tidak menyenangi saya apabila saya mula bengang akan sesuatu.

Memang itulah lumrah manusia. Kalau nak cerita, pelbagai kisah berlaku hanya disebabkan sifat ini. Masih ingat lagi saat seorang bapa membunuh anaknya yang begitu sayang akan kandungan luar nikahnya, walhal, anak itu dibenihkan sang bapa sendiri. Perasaan malu bercampur marah itu membuatkan si bapa mengelar si anak yang dulunya pernah menjadi mangsa kerakusan bapa gila seks. Kisah ini kalau tidak silap pernah saya baca di majalah Mastika. Islam sendiri tidak menggalakkan kita marah-marah. Kata orang, As-sobaru minal iman. Iman separuhnya daripada kesabaran. Saidina Ali pun ada kata, marah musuh utama akal. Jadi, renungkan diri kita sendiri mengapa Allah perkenalkan Istighfar kepada umat Islam. Sekian...

Saturday, May 22, 2010

Sambutan Hari Guru - Aksi Guru










Sambutan Hari Guru - Aksi Pelajar






Alhamdulillah, Hari Guru yang lepas menimbulkan keseronokan buat guru. Harap-harap berkekalan keseronokan itu lantas dapat membaja kami dengan ilmu daripada anda semua guru-guruku. Buat pertama kalinya, saya tampil membuat persembahan bergandingan dengan saudara Uthman AG. Kalau dahulu, saya berkeinginan untuk menyanyi di atas pentas, dek kerana kemampuan saya dalam bidang lain, hanya sajak mampu saya deklamasikan. Sekali lagi syukur apabila ramai pihak memandang sajak saya. Kalau diingatkan kembali, saya sangat suka menulis sajak saat masih di bangku sekolah rendah tetapi tidak dapat disampaikan kepada orang ramai. Jadi, kalau dahulu saya hanya deklamasikannya di rumah, syukur dapat juga saya persembahkan kepada guru-guru kesayangan saya.

Persembahan lain tidak kurang hebatnya. Kumpulan band Fuad memulakan persembahan dengan lagu Innuendo yang dirancakkan. Habis gelak satu dewan dengan cara Fuad menyanyi. Selepas itu, saudara Ikram pula menyampaikan persembahan dengan dendangan sebuah lagu Inggeris(saya tidak pasti tajuknya) dan lagu Yuna yang meningkat naik, "Dan Sebenarnya". Selepas itu, tiba giliran saya dan Uthman AG dan persembahan diakhiri dengan persembahan dari 'Band Toby' yang sangat menarik. Lagu-lagu yang disampaikan juga tidak kurang hebatnya iaitu "The Reasons", "Soul Sister" dan "Burning Out".

Walaupun persembahan pentas sedikit terganggu dengan hadiah yang terlampau banyak untuk acara cabutan bertuah yang diadakan selang satu persembahan, tetapi respons daripada guru cukup baik kerana walaupun agak sukar untuk mengikut tema 'Retro Cetusan Warna', masih ada lagi yang mampu berpakaian stail zaman 60-an hingga 80-an. Johan bagi pakaian terbaik mengikut tema ialah, Encik Shahnun bin Abdul Ghani(kategori lelaki) dan Cik Helmi Fazlin bt Baharim(kategori wanita). Majlis di dewan berakhir dengan acara 'Satu Kek, Satu Guru' di dataran STAROBA.

Acara luar dewan juga sangat meriah apabila pelbagai acara dipertandingkan untuk menyeronokkan hati ibu-bapa kami ini. Acara-acara seperti futsal, teh tarik, ukir buah, boling kelapa, bola jaring dan karaoke sangat menggembirakan guru-guru. Buat pertama kalinya, ayahanda Guffri sanggup turun berkaraoke bersama-sama kami. Seronok juga walaupun beliau tidak mendendangkan lagu, mungkin kerana malu pada anak-anak.

Justeru, saya berharap agar guru-guru dapat memberikan yang terbaik buat kami dalam SPM yang akan datang. Buat adik-adik, jagalah hati guru keran dia juga seperti keluarga kita. Ingat, keberkatan ibu bapa, termasuk guru sangat diperlukan untuk seseorang itu berjaya di dunia mahupun di akhirat kelak. Sekian...

Tuesday, May 18, 2010

"Cuma Guru Biasa"

Mula seorang kecil tanpa bicara,
Mula seorang kecil tanpa apa-apa,
Mula seorang kecil tanpa tulis baca,
Mula seorang kecil tanpa mengerti apa itu dunia.

Saat seorang bapa percaya pada seorang manusia,
Saat seorang manusia mendidik anaknya,
Saat anaknya mula petah bicara,
Saat dia mula berjaya.

Semuanya bermula dari seorang guru cuma,
Yang mengajar anak itu segala perkara,
Dia hanya seorang guru biasa,
Dari dalam kota ke ceruk desa,
Atau dari desa terus ke kota,
Tekun mengajar anak bangsa,
Segala apa ilmu yang dia ada.

Kini anak itu sudah dewasa,
Kini anak itu sudah berjaya,
Kini dia kebanggaan negara,
Guru itu masih biasa,
Masih mengajar ilmu yang sama,
Buat anak bangsa yang kian dewasa.

Padanya wang itu bukan dunia,
Yang dimahukan anak didiknya berjaya,
Jadi teknokrat, usahawan atau apa saja yang berwibawa.

Benarlah kata orang,
Guru itu umpama lilin
Menerangi segala ruang,
Yang gelap menjadi terang,
Yang terang kian gemilang,
Kudoakan engkau terus berjuang,
Agar anak bangsa maju cemerlang.

Sajak di atas merupakan nukilan saya pada petang 16 Mei 2010.

Sunday, May 16, 2010

Hari Guru 2010






Selamat Hari Guru! Hari ini merupakan hari yang disambut oleh semua pihak yang pastinya pernah berada di bawah tunjuk ajar seorang guru. Sekolah saya akan menyambutnya esok tetapi tidak kisahlah sama ada hari ini atau esok, ia tetap memberikan makna. Hari guru bagi saya sangat bermakna. Kerana, akak saya juga seorang guru. Haha. Bukan itu sebenarnya. Gurulah yang telah membentuk saya sehingga saya menjadi dewasa.

Masih saya ingat akan pengorbanan guru-guru saya di sekolah rendah. Antara yang saya ingat, Cg Herman, Cg Shahrina,(kedua-duanya pakcik dan makcik kpd Zarfan, rakan saya di STAR), Cg Uzaimi, Cg Azamah, Cg Fatimah, Cg Khoo, Cg Cham, Cg Kang, Cg Waniza, Cg Hafizah, Ustazah Zahratul Laily, Cg Norizan, Ustaz Sarjono, arwah Ustazah Hamidah, Ustazah Supinah, Ustazah Tuti dan lain-lain. Sesungguhnya, mereka sangat bertnaggungjawab dalam membentuk saya sehingga saya mendapat tawaran SBP dan kini di STAR. Terima kasih Cikgu! Masih ingat lagi saat Cg Herman tak sudah-sudah menempatkan saya dalam setiap pasukan permainan sekolah dalam usaha nak mengaktifkan saya. Masih ingat lagi saya akan Cg Uzaimi yang tidak segan-segan membenarkan saya tidur di rumahnya semalaman atas alasan untuk menyertai pertandingan menyanyi. Teacher Khoo & Teacher Azamah juga saya tak lupa atas tunjuk ajarnya yang menjadikan saya pelajar cemerlang Bahasa Inggeris di sekolah rendah. Gandingan suami isteri, Ustaz Sarjono dan arwah Ustazah Hamidah memang membentuk saya untuk menghormati orang tua. Tetapi, ajal Ustazah Hamidah telahpun menjemputnya ke Rahmatullah pada tahun 2007 yang lalu.

Saat saya mendaftar di STAR, saya tidak lari daripada menimbulkan masalah iaitu, 'homesick'. Fikir-fikir kembali, lawak sungguh usaha saya nak keluar STAR. Puas Cg Kamarudin dan Cg Zul berusaha untuk memastikan saya kekal di STAR. Cg Noridah juga berperanan membantu saya untuk yakin kekal di STAR apabila memberikan saya pelbagai peluang dalam arena perdebatan untuk saya suka akan kehidupan berasrama. Alhamdulillah, semua dapat saya tempuhi. Cg Shahnun juga tidak saya lupa kerana beliau yang pada mulanya tidak berkenan akan saya yang masuk KDBM STAR kerana pe'el waktu Form 1 akhirnya menerima saya dan rapat dengan saya. Guru-guru STAR yang mengajar saya juga tidak kurang hebatnya. Masih saya ingat lagi saat saya tidak disukai Cg Zuraida semasa Form 1, kini menjadi pendidik saya dalam subjek Additional Mathematics. Cg Kamariah juga sangat rapat dengan saya dan beliau sangat membantu saya dalam mencari idea untuk menghumourkan kaedah perdebatan saya. Cikgu-cikgu lain, tidak pernah saya lupa. Cuma tidak saya punya peluang yang sangat banyak untuk saya coretkan dalam ruangan ini, tetapi yakinlah, bahawa setiap daripada anda, namanya ada dalam doa-doa saya. Akhir kata, Terima Kasih Cikgu!

Friday, May 14, 2010

14 Mei?



Hampir 42 tahun yang lalu, semalam, merupakan detiknya di mana wujudnya sikap prasangka dan meluahkan apa yang sebenarnya terbuku dalam hati setiap masyarakat tentang sosio-ekonomi mereka. Ibu saya yang pada masa itu baru berumur 6 tahun masih ingat perkara tersebut. Lupa sebutannya. Tetapi maknanya hampir sama dengan darurat. Ibu cerita, waktu itu semua orang kena masuk rumah jam 6 petang. Benar kata ibu. Tapi ibu tidak tinggal di tempat di mana orang sibuk menetak orang. Ketika itu ibu tinggal di Sungai Pinang, Klang yang mana tempat ini signifikan untuk orang Melayu dan tidaklah ia memudaratkan ibu yang masih kecil.

Wan pun ada cerita. Wan kata, takut. Ibu kecil lagi. Wan kata, orang Melayu di Klang ramai yang nak ke Kuala Lumpur untuk sertai program tetak-menetak. Wan kata, nasib baik arwah atuk tak macam wan yang garang. Wan kata, arwah atuk kerjanya membebel fasal tempoh OT kena kurang. Oh, begitu. Cikgu Kamariah pun ada respon tentang persoalan saya di kelas. Asal cikgu, Kampung Baru. Ha. Memang tepat pada sasaran. Cikgu kata, sebelum kejadian, ramai orang Cina bawa penyapu. Lepas menang pilihanraya la katakan. Cikgu kata, orang Cina suka-suka. Tapi, cikgu sambung yang orang Melayu berang. Penyapu kan suei.

Bila disiasat, rupa-rupanya orang Melayu berasa dihina oleh orang Cina atas kekalahan Parti Perikatan di tangan Gerakan. Isu-isu begini, iaitu salah faham sepatutnya dielakkan. Mungkin perlu untuk kita fikir dahulu apakah kesan andai kita lakukan sesuatu. Macam kawan saya. Ingatkan nak gurau-gurau, dilepasnya juga getah ke muka saya. Nasib baik cepat ambil wudhu'.

Beginilah. Cara yang paling baik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memahami antara satu sama lain. Contoh cukup baik, macam sekolah saya, cikgu-cikgu ramai juga berbangsa Cina. Tetapi tak pula mereka halang kami untuk berdoa sebelum kelas. Maknanya, mereka faham tentang amalan kami dan mereka hormati. Sikap tidak hormat-menghormati seperti inilah yang mudah menjatuhkan sesebuah bangsa. Lihat isu Operasi Lalang, juga sama. Kampung Medan, juga sama. Jadi, fikirkanlah sesuatu agar sikap seperti rasisme ini dapat kita elakkan. Tidak salah memperjuangkan ras masing-masing, cuma, jangan sampai perjuangan itu menindas mana-mana pihak. Sekian.

p/s:harap tak berulang lagi. saya tak mahu rasai perintah darurat sebab tak seronok. dulu pernah kena waktu Bkt. Pelandok kena serang J.E.(1998)

Tuesday, May 11, 2010

Tolong Saya...

Di bawah, merupakan karya saya dan saya mahu meletakkannya dalam majalah sekolah. Jadi, saya mahukan pengadilan dari pihak pembaca. Terima kasih

Kini Tinggal Kenangan

"Amacam? Okey? Persoalan ini sudah kali yang ketiga , setelah dua kali aku khabarkan secara gurau-gurau dengan tujuan memberikan pembayang kepadanya. Sudah tentu dengan gelak-gelak. Cuma kali ini, aku lebih serius. Dia? Masih terdiam.

---------------------------------------------------------------------------------------

"Haziq, awak tahu tak yang saya sayang awak sangat-sangat?" Nur menyoal. "Sebagai kawan awak, saya pun sayang awak. BFF right? Hehe." "Tak. Bukan tu. Saya sayangkan awak lebih dari tu."
Sudah. Soalan KBKK. Pada mulanya, aku cuba untuk mengelak. Rasa ingin menyintai dan dicintai pada saat awal remaja memang mempengaruhi keputusan aku. Macam Newton's Third Law, respon positif aku berikan kepada Nur.

Percintaan aku dan Nur tidak ubah seperti orang dewasa sedang hangat bercinta. Pada ketika usia renaja aku yang masih berumur 14 tahun, yang mengenalinya di sebuah pertandingan menyebabkan kami tidak sabar-sabar ingin berjumpa buat kali kedua, kali ini, sebagai pasangan kekasih. Janji untuk bertemu juga aku tunaikan walaupun ibu semestinya tidak benarkan. Alasan aku yang kononnya lama tidak bertemu dengan saudara mara, aku jadikan untuk mendapatkan kelulusan tidur di rumah Wak Amat di Kuala Lumpur buat beberapa malam. Akhirnya, janji berjumpa terlerai dengan pertemuan dengan Nur di Midvalley Megamall yang kali pertama aku jejaki. Cinta kami tidak buta. Aku dan Nur berjanji untuk tidak menggadaikan maruah masing-masing dengan berpegang sana-sini dan sebagainya. Ternyata mimpi seseorang yang sudah lama tidak bertemu perempuan menjadi nyata. Aku sempat juga memakaikannya seutas gelang yang aku beli di Melaka tempoh hari. Terasa juga aku seperti Roman Picisan.

Seminggu lepas itu, aku berterus terang dengan ibu untuk keluar lagi. Kali ini aku mahu terus ke rumahnya pula. Ada rumah terbuka Aidiladha. Melangkah ke rumah seorang Datuk bagi aku satu pengalaman yang mendebarkan. Sesi bersembang dengan ibu Nur juga berjalan dengan baik. Melihatkan cara ibunya, ternyata Nur merupakan insan yang paling tepat bagi aku.

Waktu cuti, sah-sah aku guna sepenuhnya untuk bertemu Nur. Bukan berjumpa. Tetapi memenuhkan memori masing-masing dengan mesej yang menggambarkan pasangan ideal yang sangat sayang menyanyangi antara satu sama lain. Saat orang lain tidur, aku dan dia berjaga. Cakap-cakap sampai pagi. Macam-macam cerita. Kadang-kadang terdiam. Tiada topik.

Fasa permulaan bercinta memang menyeronokkan sehinggalah hubungan kami menginjak fasa yang bosan. Segala idea untuk berbicara dan perkara untuk dibincangkan umpama sudah kering. Baru aku rasa apa itu cinta yang sebenar. Bosan. Namun, aku sentiasa cuba memperbaiki hubungan kami. Aku ambil langkah perkenalkan dia dengan rakanku yang mempunyai kesukaan yang sama dengannya, iaitu peminat sukan paintball. Pelik juga perempuan zaman sekarang. Hehs~

Seingat aku, pada Januari 2008, usai belajar, aku pinjam telefon rakanku yang juga rakan kepada Nur. Aku memang rapat dengan dia. Jadi isu pinjam meminjam bukanlah masalah bagi aku dan dia. Rasa ingin tahu isi perut telefon tersebut telah menemukan aku dengan beberapa pesanan ringkas yang pada aku, sangat menyayat hati. Nampaknya, rakanku ini memang pendengar yang baik dalam berkawan. Tetapi, nombornya macam pernah aku lihat. Hati yang menyuruh aku berbuat sedemikian, iaitu, buat semakan pada telefonku. Ternyata hati ini memang bijak meneka. Sangkaan aku tepat apabila nombor tersebut merupakan nombor ayah Nur. Jadi, tidak mustahil dia chatting dengan papa Nur. Impossible! Maknanya, sudah terang lagi bertorch light, yang hamba Allah yang dimaksudkan ialah aku!

Rasa indah bercinta, memang indah belaka. Tetapi saat ini bukanlah saat yang aku mahukan. Berpisah. Argh! Nasihat daripada rakan, membuatkan aku memilih satu jalan iaitu berpisah. "Dia boleh cakap macam tu? Sumpah jahat! Ko clash sudah." Ternyata kata-kata hasutan Azman mempengaruhi aku. Memang hebat budak ni kalau bab-bab menghasut. Seringkali aku gasak, Nur mengelak. Akhirnya, Nur sendiri yang memilih perpisahan sebagai jalan terakhir. Memang aku tahu, Nur dan Ahmad kian rapat dari hari ke sehari. Pada mulanya, terasa seperti ingin mengabaikan apa yang telah aku baca. Tetapi melihatkan kepada Ahmad yang semakin ceria semacam, membuatkan aku rasa gusar akan perhubungan ini. Tidak lama selepas itu, Nur mengkhabarkan yang Ahmad kini kekasihnya. "Haziq, terima kasih sebab jadi pihak yang kenalkan Nur dengan Ahmad." Mesej dari Nur tidak aku jawab, sebaliknya air mata bercucuran jatuh. Dahlah clash, diberinya pula ucapan penghargaan seolah-olah suka akan perpisahan terdahulu.

Sejak itu, dendam kesumat aku terhadap kaum Hawa aku lafazkan dari hati, aku cernakan melalui perbuatan. Hubungan sosial aku dengan perempuan cuba aku renggangkan atas alasan sibuk. Mereka yang dulunya menganggap aku peramah, kata aku dah terbalik. Sombong. Ada aku kisah? Kadangkala apabila bertanya, aku buat tak tahu. Mungkin ini cara terbaik untuk mengajar mereka. Menyampah! Benci! Macam-macam ada.

Saat aku berada di tingkatan lima, pandangan aku terhadap kaum Hawa, aku positifkan. "Jangan takut depa. Sat lagi hang culture shock baru hang tau." Kata-kata Harinn, senior aku memang memberikan aku kata dua untuk berbaik semula dengan mereka selepas perang dingin dua tahun. Betul juga kata Harinn. Apabila aku fikirkan kembali, sifat membenci wanita, ditambah lagi lima tahun bersekolah di sekolah yang semuanya lelaki di Ipoh, memang membuatkan aku gagal menyesuaikan diri dalam beberapa program SBP yang melibatkan perempuan. Lebih-lebih lagi HKSBP 2009 yang diadakan di sekolah Nur, di Cyberjaya. Kata lainnya, jadi takut! Ramai kata aku sombonglah. Heartlesslah. Padahal, mereka tidak tahu yang aku ini ketakutan bertemu dengan mereka. Rakan-rakan perempuan yang sudah lama tidak aku hubungi, aku jalinkan kembali ikatan persahabtan tersebut. Semua kata aku sombong. Eleh. Kalian tidak tahu bolehlah berhujah. Tetapi, aku tidak kisah. Aku akui perkara tersebut agar hubungan kami semua sihat kembali. Sampai satu ketika, hubungan aku dengan teman lama dari Johor Bahru, rapat semacam. Dengan dia aku selesa menceritakan segalanya. Yang pastinya, dia berbeza perwatakannya dengan aku. Sebagai seorang peniup euphonium STF Wind Orchestra, dia lebih berkebolehan menjadi pendengar yang baik. Sebab itu, aku tidak menutup apa-apa rahsia yang boleh aku sampaikan kepadanya.

Saat tidak berhubung sewaktu sibuk dengan SPM, membuatkan aku rindu kepadanya. Jangan risau, SPM masih fokus bagi aku dan dia. Cuma, kalau sepanjang cuti selalu berhubung, saat bersekolah diam-diam saja, itulah yang membuatkan diri rasa kekosongan. Dia? Wajahnya tidak pernah aku tatap. Pada aku, rupa bukan masalah sesuatu perhubungan. Asalkan dia elok, sudah. Tapi bagi aku dia ini punya kelainan. Firasat aku, dia indiependent. Bukan Yuna. Tapi berdikari. Asbabnya, dia ini tak seperti perempuan lain. Kalau rapat sikit, dah nak bermanja. Dia tidak. Merajuk? Jangan harap. Selalu juga aku kutuk dia yang beritahu bahawa dia lagi rendang daripada aku dengan hanya ketinggian 10 pembaris 15cm. Cikgu Rafaei pernah cakap. Perempuan jenis inilah yang kalau kita dapat, puas sebab mereka ini berbeza. Haha. Gatal sungguh.

Selepas SPM, kami yang bersama-sama mengaji di Lembah Beringin membuatkan aku kerap berhubungan dengan dia. Semua ahli keluarganya telah aku kenali. Begitu juga dia. Ibu seperti berikan green light. Keluarga dia juga tidak punya masalah dengan aku. Kasih dan rindu, selalu aku garapkan dalam perbualan. Tapi tidak jelas. Sekadar memberikan pembayang kepada dia. Pada satu malam, saat dia mendapat panggilan percuma, dia hubungi aku untuk satu tempoh masa yang lama. Satu demi satu topik kami bincangkan. Suara dia yang perlahan nadanya membuatkan aku seringkali tersalah tafsir. Buat kali yang pertama, dia merajuk. Biaq betoi? Aku ambil langkah dengan menghubunginya, tetapi dia sengaja tidak menjawab. Panggilan kali ke-17, dia angkat. Yang peliknya, ada background music. Music box. Pada mulanya, aku agak terkesima, namun, kali ini aku faham tujuan dia berbuat sedemikian. Apa lagi, aku pun terus bertanya...

---------------------------------------------------------------------------------------

"Hm... Okey. I accept you my dear." Jawapan ringkas dari dia membuatkan aku terkejut buat kali yang kedua. Perasaan yang sukar digambarkan. Perkenalan yang cukup lama, dari tingkatan dua sampailah ke hubungan rapat selama 3 tahun membuatkan aku terus memberitahu ibu. Ibu tiada masalah. Aku pula terus menghubungi bapanya, Encik Roslan atas tujuan itu juga. Mungkin sedikit salah cara aku, tetapi bapanya tidak punya masalah dengan perkara tersebut. Hantaran merisik aku untuknya semuanya dijalankan ibu sewaktu aku dan dia mengambil peperiksaan terakhir A-Level. Semuanya berjalan lancar dan sebulan selepas itu, keluarga kedua-dua belah pihak mengatur ikatan pertunangan antara aku dan dia. Ternyata ini merupakan tindakan menyelamatkan kami yang akan melanjutkan pelajaran di London, 2 bulan lagi. Walaupun tidak sama tempat pengajian, bapa dia mahukan aku tengok-tengok anaknya bersama di London nanti sambil berseloroh. Kami tidaklah jauh terpisah, aku di King’s College London, manakala dia di London School of Economics.

Selepas ibu menyarungkan cincin, kami bertemu sebentar. Senyum sampai telinga. Gembira kedua-duanya. "Tak benci saya pulak? Saya kan perempuan." Kata-kata itu disusuli gelak tawa kami berdua. Kalau dahulu, pastinya aku tidak mampu menjawab soalan tersebut dengan menjadikan peristiwa lama sebagai alasan. "Tak. Saya sayang awak."

Kisah dulu bagi aku, kini tinggal kenangan. Terima kasih kerana berikan aku peluang, Nor.

Sunday, May 9, 2010

Hari Ibu 2010




Hari Ibu merupakan hari yang sangat bermakna buat kita. Sebenarnya, ada yang menyatakan bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.

Purqoui, bagi saya tidak salah menyambut satu hari yang mengingatkan kita pada dugaan si ibu yang penat membela anak dari kecil sehingga besar. Memang benar, hari ibu, bukan hari ini sahaja, tetapi hari-hari. Memanglah. Tetapi, agak-agak ada tak yang setiap hari menyatakan selamat hari ibu kepada ibunya? Kalau ada, saya memang nak tabik 'spring' kepada hamba Allah tersebut.

Ucapan Selamat Hari Ibu saya hulurkan buat semua ibu di dunia ini. Pagi tadi pun, saya telefon ibu saya selepas selesai pemeriksaan asrama dan mengucapkannya. Harap-harap anda semua berpeluang. Andai tidak, sedekahkanlah doa buat mereka. Buat mak, adik sayang mak sangat-sangat. Bagi adik, maklah segalanya. Mak boleh jadi mak, jadi abah, cikgu pun boleh. Sayang mak. Adik harap, adik dapat membalas segala jasa mak bila adik besar nanti. Muahx!!!

Tuesday, May 4, 2010

Manchester United atau Chelsea?




Dengan baki satu perlawanan, pertarungan pasukan kesukaan saya, Manchester United dan Chelsea cukup mendebarkan lebih-lebih lagi apabila melihat perbezaan cuma 1 mata yang menjadi penentu juara English Premier League. Sedih juga apabila Liverpool ditewaskan Chelsea dengan mudah di Anfield. Kecoh si Ferguson apabila mendapat tahu Gerrard terlepas bola dengan mudah lantas memberikan peluang kepada Didier Drogba untuk menjaringkan gol.

Kemunculan Rooney dalam pertemuan menentang Sunderland tempoh hari dilihat kurang membantu apabila beliau tidak pun menjaringkan gol. Sebaliknya Nani kini dilihat sebagai 'scoring machine' Man. U dengan menjaringkan gol kemenangan. Berbatov bagi saya tidak ubah seperti Mat Tangguk. Yelah. Sepakannya di dalam kotak penalti memang agak baik, tetapi, dia tidak mempunyai X-Factor dalam pasukan Man. U. Sekadar rembat dalam kotak penalti, tetapi penguasaan di luar kotak lemah, saya kira itu bukanlah pilihan tepat untuk diturunkan Sir Alex Ferguson pada masa akan datang.

Nasib baik Man U kini dah berkira-kira untuk membeli David Silva, Luca Modric, Mandanda(kalau tak silap), dan lain-lain, semuanya bagi menggantikan pemain-pemain yang bakal bersara musim depan seperti Van der Sar. Hari ini pula, dikhabarkan Gianluigi Buffon ingin mencari kelab di EPL dan mengintai ruang di Manchester United, Arsenal dan Manchester City. Eloklah tu. Penjaga gol terbaik bersama kelab terbaik. Pada pandangan saya, mungkin musim depan lebih memihak kepada Chelsea, namun, saingan Man U tidak boleh dinafikan.

Satu sahaja harapan saya. Harap-harap Wigan Athletic mampu mengejutkan Chelsea sekali lagi selepas mengalahkan The Blues pada perlawanan pertama liga. Hidup Roberto Martinez!

Sunday, May 2, 2010

Satu Bentuk Diari ; Hatiku Berkata




Gembira rasanya apabila dapat tahu yang dia juga sama. Bukan pattern aku jenis yang lupa pada peristiwa lama. Cuma kadangkala perasaan sunyi perlu ada penemannya. Kisah dulu antara Ogos 2007 sampai Mac 2008 memang singkat bagi sesuatu perkara. Tapi perkara inilah yang buatkan aku sampai 2010 memandang kaum Hawa dengan penuh prasangka. Memedihkan diri dan hati apabila si dia(yang dulu) lari kepada rakan hamba. Tapi jangan risau, dendam kesumat aku bukan untuk engkau(kawan). Cuma kepada dia yang mungkir janji. Hubungan hanya 210 hari sedangkan janji sehidup semati. Apa-apalah. Serius bukan kau yang salah. Cuma bila kau buat aku serba salah, perempuan lain pun aku anggap salah.

Buat yang kini. Terima kasih kerana sudi. Aku tak pernah jangka yang aku sudi kau temani. InsyaALLAH aku akan berubah kali ini. Mengubah janji kepada realiti. Mungkin terlalu awal untuk confirmkan segalanya. Empat tahun know you memang aku suka. Mungkin kali ini baru rapat tapi aku rasa best gila. Lagi-lagi bila dapat tahu kau memang beria akan hajat seorang manusia. Mengatakan OK pun dah kira baik bagi soalan yang aku simpan dari bulan pertama. Tapi, aku tak lupa harapan keluarga. Cuma aku harap, kejayaan dapat sama-sama kita garap. Sekian.

buat mak, abah, akak, abang, ayah, dan kau;terima kasih kerana sayangkan aku