BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, May 22, 2010

Sambutan Hari Guru - Aksi Pelajar






Alhamdulillah, Hari Guru yang lepas menimbulkan keseronokan buat guru. Harap-harap berkekalan keseronokan itu lantas dapat membaja kami dengan ilmu daripada anda semua guru-guruku. Buat pertama kalinya, saya tampil membuat persembahan bergandingan dengan saudara Uthman AG. Kalau dahulu, saya berkeinginan untuk menyanyi di atas pentas, dek kerana kemampuan saya dalam bidang lain, hanya sajak mampu saya deklamasikan. Sekali lagi syukur apabila ramai pihak memandang sajak saya. Kalau diingatkan kembali, saya sangat suka menulis sajak saat masih di bangku sekolah rendah tetapi tidak dapat disampaikan kepada orang ramai. Jadi, kalau dahulu saya hanya deklamasikannya di rumah, syukur dapat juga saya persembahkan kepada guru-guru kesayangan saya.

Persembahan lain tidak kurang hebatnya. Kumpulan band Fuad memulakan persembahan dengan lagu Innuendo yang dirancakkan. Habis gelak satu dewan dengan cara Fuad menyanyi. Selepas itu, saudara Ikram pula menyampaikan persembahan dengan dendangan sebuah lagu Inggeris(saya tidak pasti tajuknya) dan lagu Yuna yang meningkat naik, "Dan Sebenarnya". Selepas itu, tiba giliran saya dan Uthman AG dan persembahan diakhiri dengan persembahan dari 'Band Toby' yang sangat menarik. Lagu-lagu yang disampaikan juga tidak kurang hebatnya iaitu "The Reasons", "Soul Sister" dan "Burning Out".

Walaupun persembahan pentas sedikit terganggu dengan hadiah yang terlampau banyak untuk acara cabutan bertuah yang diadakan selang satu persembahan, tetapi respons daripada guru cukup baik kerana walaupun agak sukar untuk mengikut tema 'Retro Cetusan Warna', masih ada lagi yang mampu berpakaian stail zaman 60-an hingga 80-an. Johan bagi pakaian terbaik mengikut tema ialah, Encik Shahnun bin Abdul Ghani(kategori lelaki) dan Cik Helmi Fazlin bt Baharim(kategori wanita). Majlis di dewan berakhir dengan acara 'Satu Kek, Satu Guru' di dataran STAROBA.

Acara luar dewan juga sangat meriah apabila pelbagai acara dipertandingkan untuk menyeronokkan hati ibu-bapa kami ini. Acara-acara seperti futsal, teh tarik, ukir buah, boling kelapa, bola jaring dan karaoke sangat menggembirakan guru-guru. Buat pertama kalinya, ayahanda Guffri sanggup turun berkaraoke bersama-sama kami. Seronok juga walaupun beliau tidak mendendangkan lagu, mungkin kerana malu pada anak-anak.

Justeru, saya berharap agar guru-guru dapat memberikan yang terbaik buat kami dalam SPM yang akan datang. Buat adik-adik, jagalah hati guru keran dia juga seperti keluarga kita. Ingat, keberkatan ibu bapa, termasuk guru sangat diperlukan untuk seseorang itu berjaya di dunia mahupun di akhirat kelak. Sekian...

0 respon: